Salah sebuah kelab Liga Cyprus dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat salah seorang pemain sayap muda skuad kebangsaan iaitu Arif Aiman.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, pencari bakat Malaysia di Sepanyol bersama Velez FC, Qayyum Shaharuddin menyatakan kelab yang dimaksudkan ada bertanya mengenai Arif kepada beliau.

“Sebelum mereka (kelab Cyprus) itu berhubung dengan saya, mereka sudah pun mengetahui tentang Arif. Mereka tahu tentang Malaysia sebab Arif Aiman.”

“Saya pun memberikan laporan ringkas mengenai Arif tentang corak permainan, kelebihan dan kekurangan Arif dan mereka itu yakin bahawa Arif memiliki profil yang sesuai dengan permainan pasukan,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Qayyum juga mencadangkan beberapa nama lain selain pemain berusia 21 tahun itu untuk melihat sama ada kelab tersebut berminat atau sebaliknya.

“Saya juga mencadangkan tiga nama (Stuart, Baqiuddin dan Haqimi) kepada kelab tersebut, mereka berminat tetapi mereka sudah memiliki terlalu ramai pemain tengah dan penyerang jadi ia terhenti di situ sahaja,” tambahnya.

Sebelum ini, prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh Arif ketika perlawanan kedua peringkat kumpulan saingan AFC Champions League (ACL) menentang BG Pathum United nyata turut mendapat perhatian peminat bola sepak Thailand.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Leo, Arif menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-2 wakil tunggal Liga Malaysia itu sekaligus memastikan JDT mendapat kemenangan pertama dalam saingan musim ini.

Selepas perlawanan, salah seorang peminat di laman media sosial X menyatakan beliau mahu melihat Arif untuk beraksi di saingan Liga Jepun dalam tempoh masa dua hingga ke tiga tahun lagi setelah melihat persembahan yang ditampilkan pemain itu ketika bertemu BG Pathum.

Akan tetapi, menurut beliau perkara yang paling penting ialah tidak terburu-buru untuk menghantar Arif Aiman ke Jepun kerana pemain itu masih muda dan mempunyai banyak masa dan ruang untuk meningkatkan kualiti.